Saturday, 27 February 2021

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan negara.


 

    Keamanan dan kesejahteraan negara adalah terletak pada tanggungjawab semua rakyat dalam sesebuah negara. Namun begitu barisan penguatkuasa merupakan benteng pertahanan negara yang sangat penting dalam mempertahan keselamatan dan ketenteraman awam. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawasi setiap kawasan maritim di Malaysia agar aman dan selamat bagi kegunaan masyarakat dan negara.

Maritim Malaysia mempunyai skop tugas yang agak luas antaranya adalah;

 1. Menjaga sempadan perairan Malaysia dari dicerobohi. 

    Semua jenis bot dan kapal termasuk bot nelayan , kapal persiaran dan kapal tangki tidak dibenarkan menghampiri titik garis sempadan Zon Ekonomi Ekslusif negara. Pihak maritim akan melakukan tinjauan dari air dan juga udara  bagi memastikan sempadan tidak dicerobohi. Jika terdapat pencerobohan sempadan, pihak maritim akan memberikan teguran dan jika degil tindakan yang lebih tegas seperti melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran.

    Terdapat pelbagai reaksi yang mendebarkan perlu dihadapi oleh pihak maritim, ada antaranya yang melarikan diri dan terdapat juga penceroboh yang melawan serta melakukan pelbagai tektik penipuan. Antaranya adalah dengan membuang alat navigasi Sistem Pengesanan Global (GPS)  ke laut untuk dijadikan alasan bahawa tidak sedar berada di kawasan perairan Malaysia.

    Dalam situasi ini pihak maritim berdepan dengan cabaran emosi dan kecekapan bertindak kerana tindakbalas penceroboh yang sinonim dengan penjenayah boleh mencederakan dan mengancam nyawa. Namun begitu demi memastikan pematuhan semua Undang-undang Persekutuan dan Undang-undang Antarabangsa di Zon Maritim Malaysia, anggota APMM sedaya yang mungkin melengkapkan diri dengan ketegasan, ketangkasan fizikal dan serba boleh untuk merealisasikan setiap misi.

2. Membenteras penyeludupan 

    Bertindak atas maklumat dari bahagian perisikan contohnya Jawatan kuasa Perisikan ESSCOM, bot peronda maritim diaturgerakkan untuk melakukan serbuan ke atas premis di kawasan perkampungan air atau ke atas bot dan kapal yang mencurigakan. Pihak maritim bertindak merampas bahan yang diseludup, contohnya rokok putih, rokok kretek dan minuman keras yang tidak bercukai. 

    Sindiket penyeludupan skala besar yang menggunakan kapal kargo mendatangkan kerugian besar dalam hasil pendapatan negara mendorong APMM merangka kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi penyaluran maklumat berhubung aktiviti penyeludupan. 

     Haiwan eksotik seperti udang kara, labi labi dan tenggiling juga adalah dilarang dan turut menjadi bahan seludup. Kerjasam bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) banyak membantu menyelesaikan isu ini.
 

 

Pelupusan rokok seludup

 

3. Mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan PATI (pendatang asing tanpa izin).

    Pihak maritim APMM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dalam melaksanakan Op Benteng bertindak memperketatkan kawalan di kawasan perairan termasuk sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan PATI. 

    Mereka mengkoordinasikan aktiviti dan pemantauan di kawasan titik panas pendaratan migran contohya sekitar Kedah dan Perlis. Beberapa aset pihak maritim termasuk Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar yang beroperasi 24 jam bagi tujuan pengawasan digerakkan ke kawasan ‘panas' yang bersempadan dengan negara jiran supaya perairan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah dan pendaratan PATI.

SISTEM Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA)

 

    Ops Benteng juga membabitkan aset sembilan kapal induk, 50 bot pemintas milik ketiga-tiga agensi di sepanjang kawasan di Selat Melaka. Bot pemintas diletakkan dalam keadaan bersedia di kapal induk selama 24 jam supaya mudah bergerak apabila SWASLA mengesan pergerakan mencurigakan di perairan negara. Bot pemintas ini tidak ditempatkan di jeti supaya cepat ke lokasi dan memintas bot yang mencurigakan. Begitulah kehebatan kesiapsiagaan aset APMM  yang terbabit dalam Ops Benteng.

    Kawalan terhadap  PATI adalah sangat penting untuk keselamatan negara terutamanya dalam situasi pandemik COVID19. Setiap PATI mempunyai risiko membawa masuk virus berbahaya ini dan mengekang kemasukan PATI merupakan salah satu usaha untuk memerangi COVID19.

 

4. Membenteras penangkapan ikan secara haram 

    Penangkapan ikan tidak boleh dilakukan sebarangan. Terdapat peraturan dan undang -undang yang digariskan oleh kerajaan demi menjaga kebajikan nelayan keseruhannya dan juga menjaga ekosistem laut negara.

    Terdapat  beberapa cara penangkapan ikan yang diharamkan oleh kerajaan seperti bubu naga dan pukat ganding.

    Penggunaan bubu naga semakin berleluasa terutamanya di perairan utara pantai barat Semenanjung Malaysia. Bubu naga mempunyai banyak injap dan bermata kecil mempunyai  sifat yang tidak selektif, akan turut memerangkap anak ikan komersial bukan saja boleh memusnahkan ekosistem serta sumber hasil laut dalam jangka masa panjang, malah menjejaskan pendapatan nelayan, terutama nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut. Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Bubu naga asalnya hanya digunakan di Thailand dan mendapat nama ‘naga’ kerana bentuknya yang disambung-sambung hingga panjang

 

    Begitu juga dengan aktiviti pukat tunda ganding. Modus operandi menangkap ikan secara dua bot bergerak bersama iaitu pukat ganding yang panjangnya dianggarkan satu batu diletak di antara kedua-dua bot lalu menarik pukat secara bersama. Penangkapan cara ini diharamkan kerajaan kerana bukan saja pelbagai hidupan laut dikaut, malah menjejaskan ekosistem termasuk merosakkan terumbu karang yang menjadi komponen penting sumber pembiakan hidupan maritim. Lebih malang lagi selain hasil laut habis dipungut Pukat tunda ganding juga merosakkan unjam nelayan.

 

Pukat tunda ganding mampu menangkap ikan dengan banyak kerana bukaan pukat yang lebih luas iaitu 200 ke 400 meter                           

 

    Isu penangkapan ikan secara haram ini mendapat perhatian serius dari pihak maritim lebih lebih lagi penangkapan ikan secara haram ini dilakukan oleh nelayan asing khususnya nelayan Vietnam yang turut mencerobohi perairan negara.

    Pelbagai tipu daya dan helah dilakukan oleh nelayan asing seperti menggunakan bot berlesen, memotong pukat apabila ditahan supaya tiada bukti melakukan penangkapan ikan, dan lebih menyedihkan apabila aktiviti turut didalangi penduduk tempatan dengan memberi sewa bot kepada nelayan asing untuk melakukan aktiviti ini. Pihak APMM telah bertungkus lumus membenteras isu ini dan sokongan orang ramai dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan amat amat dialu alukan.


 5. Mengawasi zon penangkapan ikan

    Pihak maritim APMM juga bertanggungjawab mengawasi zon penangkapan ikan. Kesalahan pelanggaran zon penangkapan ikan memberi kesan  kepada faktor semula jadi pembiakan ikan dan hidupan marin lain. Isu ini berlaku terutamanya di kawasan nelayan tradisi (Zon A). Sikap tamak segelintir pengusaha bot nelayan ini dikhuatiri menjejaskan ekosistem serta pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup hanya di kawasan perairan bawah lima batu nautika.

 

                                Sistem pengezonan di Semenanjung Malaysia.                                     Sumber: Portal rasmi Jabatan Perikanan Malaysia

   

6.Membantu operasi  mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejaki orang hilang

    Sepanjang 16 tahun penubuhan, APMM memberi sepenuh komitmen dalam tugas mencari dan menyelamat. Kejayaan maritime dalam mengkoordisikan mencari dan menyelamat terbukti apabila rekod pada tahun 2006- 2020 mencatatkan sebanyak 2196 kes operasi telah dikoordinasikan , sebanyak 9159 nyawa telah diselamatkan, dan RM 612 231 685.0 harta telah diselamatkan. 

     APMM telah menubuhkan Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat iaitu “Maritime Rescue Coordinating Center” (MRCC) dan lima Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat iaitu  “Maritime Rescue Sub–Center” (MRSC) dengan tujuan untuk mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat di laut dalam kawasan mencari dan menyelamat maritim Malaysia (Maritime Search and Rescue Region – MSSR). Pusat-pusat ini beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Operasi  mencari dan menyelamat (SAR)

 

7.Penerbangan dan pelayaran ihsan

    Pihak APMM juga turut bersedia melakukan pelayaran dan penerbangan ihsan bagi  memberi bantuan kecemasan kepada komuniti maritim,terutamanya untuk penduduk di kawasan pulau. Tidak hanya membantu rakyat tempatan, APMM juga turut membantu pelancong-pelancong asing  yang berada di dalam kapal mewah ketika pelayaran yang berhadapan masalah kecemasan seperti masalah jantung, stroke dan sebagainya. 

      APMM turut memberi bantuan pengangkutan dan kawalan keselamatan di laut kepada mana mana pihak yang memerlukan seperti  Kementerian Pendidikan Malaysia, yg membawa bahan sulit peperiksaan SPM ke Kawasan pulau. APMM sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat serta agensi kerajaan ketika kecemasan atau bencana.

 

 Kekuatan aset APMM

 

Kapal Peronda Luar Pantai (OPV). 

Kapal OPV berteknologi tinggi berukuran 83 meter panjang dan 13.7 meter lebar dilengkapi meriam, tapak pendaratan helikopter dan bot pemintas jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB), bilik rawatan serta bilik tahanan. Kapal OPV ini berkeupayaan melaksanakan operasi dan rondaan di laut dalam tempoh sehingga sebulan. Selain itu, kapal berkenaan yang boleh menempatkan 70 anak kapal turut dilengkapi radar berkeupayaan tinggi bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil serta tidak terkesan dengan cuaca hujan.

Kapal OPV ini juga mempunyai kamera infrared pemerhatian jarak jauh Sistem AIS atau Automatic Identification System, peralatan SAR seperti peralatan selam, peralatan pencegahan tumpahan minyak dan pelbagai peralatan terkini. OPV ini juga didatangkan bersama radar X dan 'S band' bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas. Berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.


Kapal peronda generasi baharu atau New Generation Patrol Craft (NGPC) 

Kapal NGPC ini berukuran 45 meter panjang dengan kelebaran 7.7 meter serta mampu berlayar dengan kelajuan 24 knot. NGPC ini mampu beroperasi selama 10 hari di laut tanpa ulang bekal bagi tugas penguatkuasaan serta tugas carilamat.

NGPC ini juga dilengkapi dengan Meriam 30 milimeter Aselsan, Rigid Inflatable Boat (RIB) sepanjang 7 Meter, Long Range Surveillance Camera (kamera pemantau yang mampu mengambil gambar siang dan malam dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) atau dron yang berupaya melakukan pemantauan udara dengan jarak jauh.Di samping itu, NGPC juga memiliki kelengkapan dalam mengendalikan tumpahan minyak secara komprehensif

Kapal peronda generasi baharu atau New Generation Patrol Craft (NGPC)

 

 

Pesawat  Bombardier 

Pesawat  Bombardier   berupaya  untuk  membantu  dalam  memadamkan  kebakaran dengan melakukan "water bombing".  Pesawat  ini  berupaya  melawan kebakaran dengan kelajuan 150 kt 278 km/j dan  mampu membawa kira-kira 6,000 liter air bagi setiap kali ‘scooping’.Pesawat ini mampu terbang sehingga tiga jam bagi satu penerbangan.

 



 


    Komitmen dan pengorbanan semua anggota APMM wajar diberikan pujian dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara khususnya dalam zon maritim negara. Masyarakat perlu menghargai setiap titik peluh mereka yang berkorban masa dan tenaga  dengan cara memberikan kerjasama yang sepenuhnya menjadi "mata dan telinga" dalam menyalurkan sebarang maklumat yang dapat membantu tugas mereka. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke Maritime rescue Sub-Centre (MRSC) atau ke Pusat operasi maritime setiap negeri. Masyarakat awam juga berpeluang menjadi sukarelawan maritime dalam Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM). Kesiapsiagaan sukarelawan maritim melalui pengalaman yang ditimba sepanjang penugasan dilaksanakan dapat membantu menjayakan lebih banyak misi.

    Selamat ulang tahun yang ke-16, syabas diucapkan kepada semua warga APMM walaupun baru di usia "remaja" tetapi telah jauh melangkah dalam melakar kejayaan demi kejayaan menjadi wira dan penyelamat negara. Terima kasih kerana mengawal, melindungi dan menyelamat!

 


 

 

 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...